Bangun-bangun tidur rasa seronok bila terfikirkan air tebu
sejuk dan kuih tepung pelita gebu. Mandi dan terus ke pasar ramadhan tanpa
melihat jam yang ketika itu baru jam 3.30 petang.
Jadi kuih tepung pelita daun pandan ni merupakan kuih wajib
ada atas meja untuk setiap tahun ramadhan. Pencuci mulut atau pembuka selera
paling agung setakat ini.
Jadi Kak Long yang dekat rumah atau ofis tu cara untuk
membuatnya ialah begini…
Mula-mula kita buat kelongsong tepung pelita menggunakan
daun pandan. Kemudian satukan tepung
beras, tepung hoen kwe hijau, gula dan jus pandan, kacau sebati dan tapiskan,
masukkan di dalam periuk dan kacau selalu hingga pekat dan berkilat.
Selepas itu curahkan lapisan hijau tadi ke dalam kelongsong
daun pandan dan biarkan seketika.
Sementara itu buat lapisan atasnya, santan di
campur dengan tepung beras dan garam secukup rasa, kacau sebati dan tapiskan.
Masukkan di dalam periuk dan kacau selalu, setelah santan menjadi pekat,
curahkan ke atas lapisan hijau tadi dan biarkan sejuk dalam peti ais. Hidangkan!
Cubalah Kak Long!
Yang rajin boleh cuba, yang malas jom pergi pasar ramadhan,
petang tu ada cerita. Lampu di tutup, tirai dibuka…
Sedang mata aku seronok melihat makcik kuih lancar menyusun
atur kuih-kuih pelita ke dalam plastik bag, tiba-tiba hidung aku menangkap
bauan vanilla yang di sebatikan dengan kayu manis. Sungguh sedap baunya hingga layak
untuk di telan berkali-kali.
“Memang power makcik ni, invensi tepung pelita dengan bauan
vanilla kayu manis”, kata hati kanan ku.
“Tapi takkan lah, ni macam ada bau shampoo rambut”, balas
hati kanan ku pula.
Demi meleraikan
perkelahian hati kanan dan hati kiri, bola mataku segera ku larikan kekanan dan
kekiri memerhati lantas mencari.
Nah. Berdiri di kiri setinggi ketiak ku, terletak cantik
awek jambu berambutkan ikal mayang, berkulitkan kuning langsat dan badan
berperisakan vanilla kayu manis.
Untuk seketika aku berada di luar perasaan.
Gadis yang berbajukan ‘KISS’ ini bagai mengundang seribu
macam pandangan warga pasar ramadhan petang itu. Ayam yang selama ini bergolek
atas bara api kali ini seakan bergelek suka ria. Murtabak ayam yang selama ini
berbentuk segi empat kali ini seakan membentuk bentuk hati cinta.
Semuanya menikmati, semuanya jatuh hati.
“Sayang nak beli
berapa ringgit?”
Demi tuhan itu suara jantan terpaling jantan pernah telinga
jantan aku tangkap.
Nah. Berdiri di kiri setinggi kepala Gadis KISS, terletak bosan
pakwe biasa-biasa berambutkan mat despatch, berkulitkan tipikal melayu dan
badan berperisakan tiada perisa.
Untuk seketika aku berada di dalam pusaran.
Jejaka yang berjersikan Arsenal era Ljunberg ini bagai
mengundang seribu macam pandangan warga pasar ramadhan petang itu. Ayam yang
sebelum ini bergelek suka ria di atas bara api kali ini kembali bergolek lesu.
Murtabak ayam yang sebelum ini membentuk bentuk hati cinta kali ini kembali
berbentuk segi empat hambar.
Semuanya termati, semuanya mati hati.
“Awak tipu saya
Kamal!”
Nah. Berdiri tidak jauh dari Kamal Ljunberg, terletak
menarik seorang gadis berambutkan lurus pendek bahu, berkulitkan hitam manis
yang bila di pandang tak jemu dan badan
berperisakan tiada perisa.
Untuk seketika aku berada di dalam gelanggang tomoi.
Gadis yang berbajukan cotton biru laut ini bagai mengundang
seribu macam pandangan warga pasar ramadhan petang itu. Ayam yang sebelum ini
bergolek lesu kini semakin melajukan golekan paniknya. Murtabak ayam yang
sebelum ini berbentuk segi empat hambar kini melipatkan diri cepat-cepat cemasnya.
Semuanya menyendiri, semuanya sendiri hati.
Gadis cotton itu terusan menyoal Kamal Ljunberg. Kali ini
namanya di tekan lebih kuat, lebih garang.
“Awak tipu saya KAMAL!!!”
Kemudian terdengar gadis berbaju KISS bersuara.
“B tak bagi tahu lagi ke?”, serak lunak suara. Masa ni muka
Kamal macam tapak seliper Jepun.
Brader roti john aku jeling dah ketuk-ketuk kuali.
“Ombak mai dah, ombak rindu mai dah”
Aku tahan gelak, ambik baki duit, terus angkat kaki.
Yang aku pasti, Kamal Ljunberg akan mati, gerai tepung
pelita jadi saksi, bersemi cinta tiga segi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan