Ahad, 6 Mac 2011

Fishball mu, Fishball ku jua...

Kota Kinabalu Jangan Malu-Malu

Hujan hampir selesai jatuhkan rintik airnya ketika kaki kami terletak cantik atas Lapangan Terbang Antarabangsa Sabah. Sejuk belum tahap menggigil tapi reaksi badan aku begitu mendesak supaya cecair putih hangat segera disingkirkan. Tipikal tandas awam, tak bersih sangat, tak wangi sangat.

Selesai aku keluar, dan mereka semua hilang. Macam biasa aku tak akan panik sangat. “Alah takkan la diorang nk tinggal aku”, rileks sekali kata-kata aku. Aku telefon Aizu. Ok, mereka semua sedia naik van tanpa rasa bersalah yang aku tiada. Ok, Hazwan paling bersalah, dapat duit atas tangan, pesan aku terus kau lupakan!

Van 3.0 ini besar tapi punya radio dengan corong pembesar suara yang begitu pemalu, bonus untuk pemandu kerana corong pembesar suaranya memang khas untuk dia. Hanya dia yang mendengar, hanya dia yang boleh melayan.

‘Dia’ itu adalah Afzar, orang yang aktif menyakat tiba tiba menjadi orang yang fokus diam batu. Aku tahu waktu itu kami hanya nampak badan keras dia, kerana cinta hati pengarang jantung penghibur sepinya tertinggal di Semenanjung.

Kami mendaftar masuk ke Api Api Apartment untuk senang senangkan badan. Unit yang strategik kawasannya. Capaian mudah ke kedai makan, 7eleven, bank dan tempat mata segar badan sedap. Tak lama kami turun makan nasi ayam dengan rasa teh yang lain dari semenanjung. Kelat di lidah pekat di kerongkong. Aku belasah milo saja.

'Di Hujung Dunia'

Perut hampir padat bila kami mula gerak ke destinasi seterusnya. Van putih mulanya melanggar lembut rintik hujan mula melanggar kasar. Lewat melintasi pasaraya Giant yang jumlahnya lebih tiga sepanjang jalan keluar Kota Kinabalu.

Tak ada apa yang memberansangkan waktu itu, cuma risau cuaca yang menyambut bila tiba sana. Kondisi jalan raya yang semakin mencabar kredibiliti pemanduan Afzar. Dia fokus ke depan, kami dibelakang gelak bersembang, tak ada topik khas kecuali teka teki luar kepala otak manusia biasa, lebih tepat lagi teka teki tak masuk akal...

Kunci apa berwarna hitam?

Kami terus lemas dalam ketawa, rimas dengan cuaca basah, dengan matahari masih dengan rasa malunya. Van putih terus berlari, meredah banjir mini. Bontot makin pedih, mata makin kuyu, perut makin kosong tapi kami terus berseloka dengan kata kata menguji minda.

Tikus apa dua kaki? Dan itik apa dua kaki?

Menghampiri jam ketiga, cuaca kekal begitu, mendatar. Panas lari kemana, matahari terus malu. Hujan terus tak malu rintikkan airnya. Megah. Jalan terus jalan.

Kami tiba di Tip of Borneo dan terperasan pakcik dan makcik sepesawat dengan kami tadi. Paling aku cam makcik yang pakai tudung hijau tu sebab dia makan nasi lemak dengan muka penuh asyik syahdu. Aku sedar itu ketika Soul dan Reza berkongsi makan, sedang aku bergelut antara lena dan tidak. Tak pasti apa yang dikongsi, tapi ada iras mee goreng pucat kurang perencah. Sedap kut sebab Reza telan tak toleh kiri kanan.

Dari tempat lindung hujan itu, kami terlihat satu lapangan bulat lengkap dengan replika bumi berwarna gangsa, siap terpacak tiang bendera Malaysia yang di kibar laju oleh angin yang memang tak reti nak perlahan.

Mulanya kami seperti kambing, takut basah hujan, tapi bila mengenangkan 20 tahun sekali pun belum tentu ke situ lagi, kami redah dengan seronok yang amat, bagai teruja ke lingkaran paling luar atom. Berlari ala melompat bagai budak habis pantang sunat. Kami menuruni tangga batu dan dari situ semua mulut auto nganga. Takjub dan terus diam kosong untuk berkata.

Berlari dalam hujan dengan angin yang kuat buat badan tak dapat menahan rasa ingin terkucil. Lanskap indah di situ tambah berwarna dengan elemen cecair tambahan dari kerja badan kami. Tak nampak sangat tapi cukup untuk kami merasa sedapnya. Arghhhhh.

Dari atas tebing batu tinggi seolah kami paling raja di situ, kami saksi ombak hempas gembira, terbang burung riang. Kami di paksa suka menjadi model kamera Aizu. Berlari, berjalan, melompat, juga berdiri patung.

Puas bergambar, kami pulang riang. Zhaf mengambil posisi pemandu. Secara zahirnya dia kelihatan memandu van, tapi batinnya aku yakin dia memandu Silvia. Jangan buat gila. Kami berhak untuk cemas. Hazriana dan Aizu mula membebel. Ajat suka, aku pandang luar layan pokok pokok yang bersorak. Laju lagi laju lagi. Shit!

Sama seperti pergi, balik juga kami bermain permainan minda, gelak ramai ramai, senyap ramai ramai.

Buaya apa atas darat?

Ada juga sesi karaoke spontan, paling ketara vokal Hazriana yang sakan berduet dengan Waney. Kedengaran juga vokal Reza yang malu malu sepenuh hati, terutama ketika lagu Anang –Separuh Jiwaku Pergi, tak pasti kemana separuh jiwanya pergi, yang pasti dia tidak sedar ada cupid sedang memerhati, merencana sesuatu, menyediakan bidadari indah untuk esok harinya...esok harinya...esok harinya... (bergema)

Perut yang tadinya terkecut, mula ukir senyum saat van berhenti di medan selera. Kami pesan sehabis gila makanan laut. Dari yang di rebus hinggalah yang di goreng tepung. Paling asyik sup bebola ikan. Alahai...

Aku aneh. Sejak mula kaki pijak di bumi Sabah ini, bebola ikanlah yang bermain di tekakku. Sungguh, gigiku tak sabar membelah lembut isi ikan tepung, sementara lidah tak tertahan menahan kenyal gebu bebola ikan itu.

Kakak Kaunter Pulau Manukan

Bangun pagi itu cuaca masih mendatar, namun ada matahari mula mengintai. Hujan hampir tiada. Kami berjalan dari tempat tido ke tempat bot untuk destinasi seterusnya Pulau Manukan. Reza sempat berganti selipernya yang putus. Kami bergerak dan bergambar sesedap rasa. Satu ketika terasa seperti diva bila di ekor rapat peminat rahsia yang bermimpikan kami supaya menggunakan servisnya. Tapi maaf, kami hanya pilih yang ada jaminan keselamatan.

Tiba di pelabuhan Jesselton, basah tekak di Restoran Minang. Minuman kami ditaja oleh teman Waney. Terimakasih ya! Sampai masa kami berangkat, sempat juga membeli seluar paras lutut bunga-bungaan. Kami naik bot sederhana laju dengan isi perut ikut turun naik gara-gara ombak yang melambung seronok. Selepas 15minit, dari bot yang lambung lambung itu kami melihat pantai Pulau Manukan, daratan yang terletak dalam linkungan Tunku Abdul Rahman Marine Park.

Bergurau dengan ikan, memberi ikan makan walaupun diri sendiri tak makan lagi, terbang ke udara sambil kaki berayun antara aktiviti kami di situ. Puas bermain laut, kami bersenang senang di jeti dengan mata di saji subjek menarik ciptaan agung Maha Esa. Bot datang kami pulang.

Makan malam di Restoran Minang. Makan yang betul betul makan. Kombinasi lauk mengujakan perut, makan sampai kenyang, badan rasa senang, hati tambah riang. Jesselton waktu itu hampir gelap dan hujan sederhana.

Mata yang Merambang

Masa untuk beli dan belah. Aku selalu rambang mata dan tak sabar kalau bab membeli barang dan aku jenis orang yang tak reti nak mintak diskaun. Janji sedap di mata, rembat saja, malas nak fikir.

Pasar Tamu Gaya destinasi pertama. Dari haiwan hidup berenang berjalan, haiwan mati yang dikeraskan, manik manik kecik cantik, tumbuhan warna warni wangi, paling mencuri tumpuan mata dan duit aku adalah aneka replika kecil haiwan variasi gaya juga warna. Macam gila juga aku cari replika kucing, tapi hampa mungkin salah negeri.

Kami berhenti makan di restoran mamak. Mee dan ikan goreng untuk perut. Laici sejuk untuk tekak. Kami jalan kaki ke pasar kering. Semua haiwan basah di kering dan di masinkan di sini. Aku terpesona pada kuda laut yang di keringkan. Malah aku sempat berfantasi nakal, masak lemak cili api kuda laut. Kembang tekak, terbayang kuda berlari anak dalam perut.

Seterusnya ke Pasar Filipina, memang berpinar. Tak banyak beza barang yang dijual. Bezanya di pasar, gerai di tutupi payung, di sini gerai di tutup bumbung. Harga lebih kurang. Di sini, siapa punya ayat termanis dialah pemenang untuk harga terendah.

Kami basahkan tekak dengan air kelapa yang dua jenis; satu, rasanya normal saja, payau masam dan manis buah. Kedua, rasa yang nombor satu tapi dengan tambahan perisa pandan. Jangan tanya macam mana pandan boleh menjadi perisa untuk air kelapa, itu proses semulajadi. Tak sama dengan tembikai laici atau teh-o laici yang mana proses campurannya manual oleh manusia.

Hilang dahaga kami menapak panas ke Warisan Square Shopping Mall, tiada apa yang menarik sangat selain menyejukkan badan dengan sistem pendingin udara.

Bawah Purnama, tepi Laut China Selatan

Matahari turun bila bulan mula memanjat langit. 1Borneo kami tujukan, hypermall yang tiada beza dengan 1Utama, sama saja konsep dan susun atur kedainya. Bezanya 1Borneo terletak di kepulauan Borneo sementara 1Utama terletak di Damansara Utama -_-‘

Makan malam hari itu separuh romantis. Romantis kerana ada lilin di atas meja makan, bunyi ombak hempas-hempas tembok yang sekali dua tiga kali juga menyentuh hujung kaki, sensasi, sayang bulan entah kemana, apatah lagi juta juta bintang yang mungkin malas keluar, jika tidak pasti ianya lebih romantik merah hati. Separuh romantis, kerana makan beramai-ramai dan sikit sebanyak menganggu kosentrasi bercinta pasangan yang sedang dan bakal berkasih malam itu.

Gunung, Sungai dan Ayam Goreng

Hari terakhir, cuaca cerah, lepas empat hari, ini hari yang sporting. Taman Nagara Kinabalu yang jalan ke sana tersangatlah mengujakan. Cuaca dan pandangan mata yang sangat segar. Rasa nak peluk je Gunung Kinabalu. Bergambar seperti biasa berlatar-belakangkan flora segar dan runut bunyi hutan. Krik krik krik.

Destinasi terakhir ke Poring. Tiba sana, Ringgit Malaysia tiga di hulur, masuk hutan, naik jambatan lintas sungai, naik bukit, tergantung gantung atas jambatan gantung, melihat ke bawah hati hampir jatuh, hati-hati jangan jatuh hati di tempat yang salah.

Kaki jalan pijak lembut tanah, mata lihat cantik isi hutan. Leka semua, Soul tergelincir di anak sungai. Kami hairan, kasut dia patut tiada masalah untuk berlasak dalam hutan. Takdir tuhan mungkin. Kami ragu bulu roma menaik tegak saat membaca papan tanda larangan ke sana, ke air terjun Kipungit dan Langganan. Bulu roma yang tegak kembali melepek bila ternampak pelancong Jepun bersahaja berseorang turun dari sana. Kami selamba terus, naik turun bukit, aku sampai bila Afzar sudah separuh bogel.

Mandi manda dan bergambar seperti biasa, bergambar dalam air terjun dengan rambut dan badan yang basah maka hasilnya mestilah jadi tarikan seksual tak terperi. Normal perempuan yang tertarik, tapi kalau ada sang jejaka yang menyapa itu bonus untuk anda!

Siap untuk pulang Reza berbisik, tempat air terjun tu tak boleh lalu lepas jam 2 tau sebab apa? Kening aku ternaik tanda sebab apa? "Sebab situ ada penunggu", ucap Reza. Air liur ditelan, aku toleh belakang, ke jalan tadi, suram dan memanggil-manggil.

Lepakkan kaki di kolam air panas untuk seketika sebelum gerak pulang dan singgah makan ayam goreng di bandar Ranau.

Sekian,

Casey Abrahah

1 ulasan:

Dolly berkata...

jyeahh !! ini larh yg dimaksudkan.. :DD