Khamis, 3 Mac 2011

Kak Pah ok?


Malam itu aku tak ingat cuaca sedang apa. Yang aku tahu bila saja sampai depan rumah Zhaf, aku di minta untuk tunggu 3 minit (sebenarnya 10 minit). Gerak ke rumah Aizu, sembang apa yang patut sambil radio putar cd Damn Dirty Apes, pedal minyak masa tu antara tekan dengan tidak. Tengah berperasaan dengan post-rock kan? Ceyyy.

“Qid tengah makan keropok leko”, kata Aizu. Zhaf hisap rokok. Sembang apa yang patut sebelum Waney tiba-tiba masuk campur. Zhaf jauhkan diri dari kami. Aku dengan Aizu duduk sandar atas bangku kayu panjang, pandang padang permainan. Aizu masuk rumah sekejap, keluar dengan sebungkus goreng pisang (gorengan Shah Alam) dan murtabak dari neneknya. “Ini untuk bekalan dalam perjalanan nanti”, suara Aizu lagi. Aku haaa je. Aku makan seketul dua sebelum di bbm oleh Roy.

“Reza tak jumpa dompet pulak!!”, bebel Aizu. Aku hmmm saja. Teringat peristiwa di Kuching dulu. Kunci loker Reza hilang secara tiba-tiba sebelum kembali ada secara misteri di bawah bantal. Aku syak Reza ada bela sesuatu. Mungkin Saka? Cehhh. Kami ke tempat Zhaf. Dia masih sibuk dengan Waney.

Tak lama kami main-main kat depan rumah Aizu. Qid dan Gergasi Putihnya sampai. “Mana Soul?”, tanya Aizu. “Cuti tak lulus!”, jawab Qid. Semua membebel. Gerak terus ke Bandar Sri Permaisuri dengan Gergasi Putih senang sekali dendang lagu Justin Bieber. Masa tulah baru tahu Bieber dengan rambut baru- informasi dari Qid dan fan group Bieber ada nama dia sendiri tapi tak ingat apa- informasi dari Zhaf. Hmmm fanatik jugak Qid dan Zhaf dengan Bieber nih.

Hazwan kami paksa untuk tunggu di kedai makan. Kami lapar. Jadinya Siakap Stim, Sotong Goreng Tepung, Daging Merah menjadi menu kami dengan Reza dan Aizu “Aku dah makan tadi, banyak”, kata mereka. Kami haaa je. Tak lama kemudian Reza dengan Sup Daging, Aizu dengan Sup Ayam. Ya, kami dah tau taktik dan ketahanan perut anda.

Jam 12malam kami gerak (sebenarnya waktu asal bertolak adalah jam 9malam). Malam-malam di Lebuhraya Utara Selatan dengan koleksi film Steven Seagal yang pertama –Under Siege, cerita tentang tukang masak kegemaran Kapten yang gila hebat berlawan dan mencipta bom yang akhirnya jatuh cinta dengan Miss July ’89. Gergasi Putih macho dengan antara 140km/j dan 150km/j. Habis di horn kereta/bas/lori yang menghalang. Steady Qid! Berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat Tapah untuk senang-senangkan badan. Ada yang pergi kencing dan tak kurang juga yang merokok. Tak lama. Zhaf ambik alih tugas Qid.

Bintang-bintang, gelap malam dan udara kampung menyambut ketibaan kami di Kg. Lawan Kuda. Kami tak cakap banyak bentang apa yang patut. Terus tidur. Suku malam Aizu mintak tukar tempat tidur dengan aku sebab kaki dia panjang nak luruskan terkena kerusi. Aku ok. Separuh malam kaki aku teraba kaki Aizu. Apa rasional tukar tempat tidur kalau kaki kau masuk lorong tidur aku? Sampai sekarang terus jadi tanda tanya. Sampai malam semalam kalau kaki aku terasa di raba muka pertama aku terbayang adalah Aizu. Ohhh.

Bangun pagi dengan rasa sejuk yang gila. “Aku lupa nak bagitau korang, kat sini dalam pukul 4 pagi ada macam kabus datang”, cerita Reza untuk menambahkan lagi seram sejuk. Kami dengar tak dengar. Jadi kami sepakat untuk tidak mandi pagi, tapi gosok gigi. Terus gerak ke Gua Tempurung. Kabus sana-sini, tempat yang cantik. Kami patah balik untuk sarapan pagi.

Sarapan kami di sebuah kedai makan di sebuah kampung. Nasi lemak dan teh. Aku dan Hazwan pilih nasi lemak yang di jual oleh makcik di luar kedai. “Makcik baru mula berniaga”, terangnya. Kami tahu itu dari cara dan masa yang di ambil oleh makcik itu membungkus nasi lemak. Selepas seronok membahan kotak pensel hijau Reza (ada tulis nama Reza Akmal kat luar macam sekolah rendah dulu), kami gerak ke lokasi.

Sampai sana kaunter tiket belum buka. Paling mencemaskan Aizu adalah tandas yang masih juga belum buka, “Kat mana nak berak ni?”, omel dia. Kami ke gerai untuk minum (lagi). Hazwan kembali dengan pelekat GT (Grand Tour). Lekat di baju masing-masing. Aizu kembali dengan muka puas. Kami mencuba-cuba lampu picit. “Aku punya power!”, yakin Reza sambil mengepam-ngepam lampu picitnya. Krik krik krik bunyi dia.

Taklimat ringkas oleh Encik Salleh, aku syak dia ketua ranger kat situ sebab dia yang paling peramah antara ranger-ranger. Kami di satu kumpulankan bersama pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng, sekumpulan cina lelaki perempuan, satu gang Kak Pah dan sekumpulan kecil (tiga orang lelaki) yang banyak membantu. Rajin dan ramah. Sikit lagi nak masuk gua, aku rasa nak terkucil. Sebab semua tak bawak duit (tinggal dalam Gergasi Putih), aku dan Hazwan ke tandas awam dengan hutang. Pertama dalam hidup aku ni. Aizu turut mengaku dia berak juga hutang sebab tak ada duit kecil. Haih.

Nak masuk gua kena beratur dua-dua. Sampai saja mulut gua terus aku mulut nganga :o. Pertama kali masuk gua. Habis semua dinding jenis batu jenis pasir aku pegang. Nanti kalau ada orang tanya macam mana rasa gua, bolehlah aku jawab. Rasa gua bergantung pada kelembapan udara, semakin lembab gua semakin licinlah gua itu, begitulah sebaliknya.

Level pertama menuju Golden Flowstone. Nak ke situ perlukan otot kaki yang mantap. Naik tangga gila tinggi. Peluh dah banyak. Kami berhenti mendengar penerangan ranger. Tahukah anda kelawar terbang keluar dari gua pada bulan Mac dan kembali terbang ke dalam gua pada bulan Jun? Haaa. Jadi hari tu memang kelawar dah tak ada. Cuma yang ada bekas-bekas tahi kelawar yang tercorak cantik di langit dan dinding gua.

Manusia memang pandai berimaginasi, sampaikan tengok dinding gua pun boleh nampak muka orang, bentuk badan manusia sedang baring, tangan terkeluar, naga, tengkorak dan sebagainya. Semuanya terbentuk semulajadi dan di fantasi ilusikan oleh peneroka awal gua tersebut yang seterusnya menjadi cerita turun-temurun untuk semua yang masuk ke situ.

Kalau rasa kepala lutut dah longgar, janganlah gedik nak naik Top of The World. Pendakian tangga-tangga ke siling gua. Tiba-tiba teringat perbuatan silam ketika di sekolah asrama. Pembaziran yang tak sepatutnya. Haih.

Puas menaik, cabaran yang sebenarnya adalah ketika menurun. Dengan cahaya yang paling minimal, kami turun tangga hati-hati maksima. Agak sukar untuk mereka yang punya perut kedepan. Pandang bawah nak tengok tangga tapi yang nampak hanyalah sejambak lemak yang melepek di perut.

Jalan seterusnya adalah mendaki dan menuruni batuan gua yang licin. Jenis kasut sangat mengambil peranan dalam bahgian ini. Di bahgian ini juga terserlah sifat kasih sayang antara manusia. Sama-sama menghulur tangan berkongsi peluh membantu antara satu sama lain. yang lelaki membantu wanita. Yang muda membantu yang tua. Ya, lelaki-lelaki di situ sangat rajin membantu terutamanya jika ia melibatkan wanita bernama Kak Pah. Tak kira sedang berjalan itik mengelak batu, menggelongsor batu, memasuki lubang batu, merangkak dalam sungai pasti ada suara lelaki macho yang berteriak, “kak pah ok?”. Aneh sekali bila dipandang ke arah suara tadi, serta merta semua macam tak ada apa. Saja membiarkan Kak Pah tertanya-tanya dan berteka-teki. Dalam dilemma dan konfius. Tak lama. Kak Pah teruskan juga beraktiviti. Boink boink.

Sampai di hujung gua, kami patah balik ikut laluan yang berbeza. Laluan yang pasti basah, panas dan ganas. Kami agak terkebelakang dan lambat kerana terdapat dua orang yang cedera. Satu terseliuh tangan, satu terseliuh kaki ketika menggelongsor batu licin. Sebagai hero, kami berjalan paling belakang supaya mereka merasa lebih selamat dan ada pelindung yang gagah dan macho. Ceyyy.

Sedang bersuka-ria meredah sungai ala Rambo, kami di kejutkan dengan rasa cemas kumpulan wanita. “ada dua jalan ni, nak ikut yang mana?”. Aku dengar suara Qid membalas, “takpa-takpa kami power rangers!!”. Rupanya kami dan kumpulan wanita ini tadi tercicir dengan kumpulan depan. Lalu Qid dan seorang brader ni diorang buat apa aku tak pasti akhirnya berjaya menemukan kumpulan yang didepan tadi. Kami terus berjalan sampai tempat mula-mula masuk tadi. Kami masuk sebagai kumpulan terakhir, tapi kami keluar sebagai kumpulan pertama. Renjer pun kalah sebab dia leka main-main air sungai dengan budak-budak perempuan. Kemain kau ye. Kasut zhaf dah tak jadi kasut. Kami ke tandas awam membayar hutang. Beli aiskrim seringgit. Kami bergambar di replika Gua Tempurung dan gerak ke Sg. Jahang.

Sg. Jahang destinasi seterusnya. Aku dah tak larat nak layan arus sungai. Duduk-duduk kat tepi sungai sambil layan kerengga gigit-gigit manja kaki. Sumpah tak geli. Tak lama, mereka naik dari sungai. Kami mandi sewanginya. Zhaf dan Aizu sempat beli burger. Singgah rumah sekejap untuk pemeriksaan terakhir sebelum ke Ipoh untuk isi perut dengan nasi ganja. Ahhh.

Nasi Vanggey juga di kenali sebagai Nasi Ganja. Kombinasi kari yang luarbiasa rasanya di tambah dengan sesudu yang kelihatannya seperti rempah. Aku tak tahu macam mana nak tulis rasa tu, hanya lidah yang mengerti. Zhaf mengaku sedang high, tapi Reza yang tambah dua pinggan. Aizu katanya biasa-biasa saja tapi kami tahu dia tak fokus betul ketika makan waktu itu. Aizu lebih leka bercumbu rayu dengan talifonnya. Sekali-sekali terkeluar juga ayat garangnya. Aku doa banyak-banyak janganlah dia campak apa-apa. Ceritanya tentang ‘campak handsfree’ dan ‘campak tisu’ masih keras di kepala ku. Jangan buat gila, kita kat negeri orang ni. Menerima panggilan dari ofis ketika sedang berseronok bersama kawan-kawan adalah sesuatu yang sangat potong. Dan sangatlah malang bila aku sendiri tak tahu nak cakap ‘tak boleh’. Yang akhirnya “Ok bro, aku masuk pagi esok”, sms aku pada Kamarul yang katanya nak cuci rumah sebab tuan rumah nak tengok rumah dia. Yalah, tak kan tuan rumah nak tengok rumah dia dalam keadaan rumah dia kotor kan?

Kami sambung movie Stevan Seagal seterusnya. Kami berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat Tapah untuk sembahyang. Aku beli Pau Ahmad inti kacang merah.

Dah lupa jam berapa sampai rumah Aizu, kemas apa yang patut, turunkan bag dari Gergasi Putih. Zhaf macam yakin dia tidak tinggal apa-apa. Masuk saja myvi biru, “Shit, baju kotor tertinggal, takpelah suruh Qid basuh”. Aku hmmm je. Myvi biru gerak sederhana laju, macam biasa cilok kereta kanan cilok kereta kiri. Ok, itu tipu.

Sampai rumah Zhaf, selesai dia turunkan bag, aku gerak Kajang, hujan ringan-ringan, angin kasar-kasar. Aku sampai rumah di sambut oleh salakan anjing belaan jiran. Bulu romaku tegak berdiri, tiba-tiba aku terbau busuk yang amat, terasa di belakang ku ada lembaga putih berambut perang. Ceyyy. Seram tak?

Bila saja aku angkat bag, “tong ting tong”, bunyi botol besi terjatuh. Itulah dia deodorant Zhaf yang tercicir.

Casey Rybank

2 ulasan:

Cinoi Lavigne berkata...

apa kaitan ada kabus dtg dgn sepakat tak mandi?? haha. i like!

Tanpa Nama berkata...

Kenapa tak masuk kn cerita Sabah? Jengg3...